Tuesday, May 20, 2025

 

Sokongan dan Autonomi: Pendekatan Pekerja Sosial di Tempat Perlindungan Belanda untuk Mangsa-Mangsa Wanita yang Terselamat dari Keganasan Rumah Tangga.

Oleh Chloé Roegiers Mayeux, Sawitri Saharso, Evelien Tonkens and Jonathan Darling

Dipetik dari Laman Web MDPI: https://www.mdpi.com/2076-0760/14/4/241

 

Abstrak

Adalah biasa untuk wanita-wanita yang tinggal di tempat perlindungan Belanda selepas keganasan rumah tangga untuk mempertimbangkan untuk kembali ke pasangan mereka sepanjang tempoh mereka berada di sana. Pekerja-pekerja sosial tidak boleh menghalang mereka kembali atas kepentingan autonomi klien, seperti yang dinyatakan dalam Kod Etika. Pada masa yang sama juga, pekerja-pekerja sosial yang menyasarkan untuk memastikan keselamatan wanita dan menggalakkan masa depan yang positif, akan membawa kepada ketegangan dalam cara mereka memberikan sokongan. Berdasarkan pada tiga puluh lima temu duga dengan pekerja-pekerja sosial, kajian ini akan meneroka bagaimana mereka mengemudi ketegangan ini dan sokongan yang mereka berikan dalam kes-kes tersebut. Membina pendekatan berdasarkan pendekatan kebolehan Martha Nussbaum, kami akan membezakan pendekatan lepas tangan dengan pendekatan masuk campur terhadap autonomi. Pendekatan lepas tangan tidak masuk campur urusan orang lain dan menghormati keputusan wanita yang berkaitan manakala pendekatan masuk campur pula fokus kepada menyediakan bantuan dan menggalakkan alternatif yang lebih selamat. Kajian menunjukkan bahawa pendekatan lepas tangan merupakan kaedah sokongan yang paling biasa diberikan, membawa kepada perasaan ketidakberdayaan untuk pekerja-pekerja sosial dan seringkali mendorong mereka untuk masuk campur dengan lebih aktif lagi. Pada masa yang sama juga, kami boleh katakan, meski pun Kod Etika mendemontrasikan ketidakseimbangan terhadap pelbagai jenis autonomi, ia juga selalunya ditafsirkan oleh pekerja-pekerja sosial dalam menggunakan pendekatan lepas tangan sahaja. Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa pekerja sosial akan mendapat manfaat daripada pengiktirafan yang lebih besar terhadap pendekatan masuk campur terhadap autonomi dan lebih banyak kebebasan dalam memberi sokongan kepada mangsa.

 

 

1. Pengenalan

"Anda cuba berbincang dengan seorang wanita dan memberinya pandangan tentang keselamatan. Datang [ke tempat perlindungan] adalah secara sukarela, itu adalah pilihannya sendiri. Ada wanita yang memilih untuk kembali kepada pasangan mereka. Dan kadang-kadang anda juga melihat bahawa sesuatu berlaku kepada wanita itu di kemudian hari, tetapi sekurang-kurangnya, pekerja sosial telah menasihatkannya untuk tidak kembali. Tetapi anda tidak boleh memaksa seseorang untuk tinggal dan tidak kembali."

                                                                                                                                          —Nour

Nour ialah seorang pekerja sosial yang bekerja di tempat perlindungan Belanda di mana dia bertemu dengan wanita dari pelbagai latar belakang yang telah melarikan diri daripada hubungan penderaan. Petikan itu menunjukkan responsnya terhadap persoalan bagaimana dia akan menasihati wanita yang memilih untuk kembali kepada pasangan mereka, hal ini kerana ianya perkara biasa (Griffing et al. 2002, 2005; Edwards et al. 2018; Herman 2019). Perkara sebegini sering dibincangkan dengan pekerja sosial. Seperti yang dinyatakan dalam petikan, pekerja sosial diterhadkan dalam skop sokongan yang mereka mampu tawarkan. Hal ini kerana mereka terikat dengan Kod Etika (BPSW 2021), yang menjadi prinsip panduan dalam tingkah laku profesional mereka. Contohnya, Kod ini menyatakan bahawa penentuan diri seseorang klien adalah yang paling penting, dan bahawa klien mesti dihormati dalam proses membuat keputusannya sendiri.

Walau bagaimanapun, Kod tersebut juga menyatakan bahawa salah satu matlamat kerja sosial adalah untuk memudahkan dan menggalakkan "peluang pembangunan diri yang mencukupi dan persekitaran hidup yang selamat" (BPSW 2021, ms 11), dan bahawa pekerja sosial harus berusaha untuk "menggalakkan pembebasan dalam individu, kumpulan dan komuniti" (ibid., ms 8), dan "menyokong dan membimbing komuniti untuk mencapai matlamat dan memenuhi kehidupan mereka" (ibid.1. ms 1). Oleh itu, walaupun Kod tersebut menggariskan model penentuan nasib sendiri klien yang bersifat individu, dan pekerja sosial sering mentafsirkannya sebagai memerlukan —apa yang dalam artikel ini dirujuk sebagai—pendekatan lepas tangan, hal ini lebih menyerupai pendekatan campur tangan yang menyokong individu dalam mencari, dan mengekalkan, persekitaran yang selamat dan pencapaian pemenuhan dalam erti kata yang luas. Meskipun penentuan nasib sendiri digunakan dalam Kod Etika (BPSW 2021), apabila meneroka ketegangan yang ada, perspektif autonomi akan diterima pakai, kerana ia merangkumi kedua-dua pendekatan intervensi dan pendekatan lepas tangan. Contohnya, penentuan nasib sendiri tidak sinonim dengan bimbingan dan sokongan, dan itu mengehadkan potensi untuk campur tangan.

Dengan semua ketidakseimbangan ini, kita boleh bangkang bahawa, untuk banyak pekerja-pekerja sosial, terdapat satu konflik yang berpotensi untuk timbul di antara dua konsep ini dalam kes di mana seorang wanita ingin balik ke hubungan yang berkemungkinan tidak selamat. Satu kes, pekerja sosial sepatutnya menyokong keselamatan wanita dan membantu mereka untuk mencapai hidup yang lebih baik, di mana apabila wanita-wanita ini telah tinggalkan pasangan mereka yang ganas, akan melibatkan hidup yang tiada kekerasan. Sebaliknya pula, ianya sangat penting untuk pekerja sosial menghormati keputusan setiap wanita, meski pun keputusan itu membawa mereka kembali ke situasi penderaan.

Akibatnya, ketegangan boleh berlaku berkenaan dengan sokongan yang diberikan oleh pekerja sosial: sebanyak mana yang mereka boleh dan patut masuk campur dalam keputusan wanita-wanita ini? Ketegangan ini menjadi lebih teruk dalam konteks di mana wanita berlatarbelakangkan pendatang yang sedang memikirkan keputusan untuk meninggalkan, atau kembali, ke hubungan kekerasan. Untuk beberapa tahun lamanya, wanita dari generasi pertama dan kedua pendatang, selalunya disertakan dengan latar belakang bukan budaya barat, telah ditunjukkan secara berlebihan di pusat perlindungan Belanda (Jonker et al. 2011), disebabkan oleh, antara faktor-faktor lain, kurangnya rangkaian sosial yang meluas yang seterusnya mengakibatkan kurangnya jalan sokongan alternatif (Bartels 2021). Wanita-wanita ini selalu dibebankan dengan permit kediaman tanggungan (Bartels 2021de Hart et al. 2022Roegiers Mayeux et al. 2023) dan kadang-kadang jangkaan budaya yang mengurangkan autonomi, menambahkan lagi kerumitan kepada ketegangan yang dihadapi oleh pekerja sosial. Bagi wanita-wanita ini, akibat meninggalkan pasangan mereka berkemungkinan menyebabkan mereka kehilangan hak untuk tinggal di Belanda, dan menghadapi rasa malu dan penyisihan daripada saudara mara dan rangkaian sosial mereka sekiranya ada kes perpisahan. (Ahmad et al. 2009; Aboulhassan dan Brumley 2019; Hulley et al. 2023).

Dengan artikel ini, kami meneroka pengaruh ketegangan ini terhadap sokongan pekerja sosial, dan fokus kepada autonomi individu (selanjutnya autonomi) sebagai rangka kerja panduan untuk meneliti keputusan yang diambil oleh pekerja sosial. Kami menggunakan perspektif Nussbaum tentang autonomi, bukan sahaja kerana dia telah menunjukkan keganasan rumah tangga sebagai isu penting, tetapi juga kerana pendekatannya menawarkan cara untuk menangani kerumitan autonomi yang lebih luas berkaitan dengan isu yang sama. Menurut teorinya, syarat-syarat sosial dan ekonomi untuk autonomi adalah sangat ditonjolkan dan menurutnya juga, campur tangan adalah diwajarkan apabila syarat-syarat ini menghalang autonomi (Nussbaum 2000). Dalam kerja sosial juga, syarat-syarat ini merupakan satu isu penting. Contohnya, Kod Etika (BPSW 2021) menyatakan bahawa pekerja sosial mempunyai peranan yang perlu dimainkan dalam meningkatkan situasi kehidupan orang ramai dan menangani kekangan autonomi mereka (BPSW 2021, m/s 11). Kod ini juga menyatakan dengan jelas: "Seorang profesional, dengan itu, memberi tumpuan kepada tahap mikro seseorang individu, tahap meso persekitaran sosial terdekat dan tahap makro aturan dalam masyarakat" (ms 5). Pada masa yang sama, Nussbaum menggalakkan untuk menghormati autonomi dan penentuan nasib sendiri dalam membuat keputusan wanita (Nussbaum 2000), yang dalam Kod Etika (BPSW 2021) juga merupakan salah satu nilai teras. Disebabkan hubungan ini, kami telah menggunakan pendekatan Nussbaum untuk mengkaji ketegangan autonomi dalam kerja pekerja sosial.

Mengikut pendekatan Nussbaum, kami membezakan dua pendekatan kepada autonomi: (1) pendekatan campur tangan dan (2) pendekatan lepas tangan. Walaupun Nussbaum tidak menggunakan terma ini secara eksplisit, terdapat sebab yang kukuh untuk berbuat demikian. Asas rasional dalam menggunakan pendekatan-pendekatan ini ialah ia mencerminkan secara tepat paradigma yang memupuk persekitaran yang selamat, tapi pada masa yang sama juga, ia turut menunjukkan rasa hormat terhadap autonomi wanita dalam membuat keputusan. Pendekatan campur tangan terhadap autonomi sejajar dengan konseptualisasi Nussbaum tentang autonomi sebagai kapasiti. Hal ini bermaksud bahawa intervensi bertujuan untuk menyokong wanita dalam mengukuhkan kapasiti mereka, seperti keupayaan untuk merenung secara kritis terhadap pilihan mereka dan untuk merealisasikan rancangan hidup mereka, termasuk mempunyai kehidupan yang selamat dan bebas dari keganasan. Sebaliknya pula, pendekatan lepas tangan adalah bertujuan untuk menghormati pilihan wanita, dengan alasan bahawa autonomi adalah soalan tentang pilihan bebas dan penentuan nasib sendiri, tanpa mengira hasilnya. Akibatnya, dengan memikirkan perbezaan ini, kertas kajian ini bertanya: Bagaimana pekerja sosial akan menangani pendekatan yang bercanggah ini terhadap autonomi dan sokongan mereka apabila bekerja dengan wanita yang mempertimbangkan untuk kembali ke hubungan penderaan?

Artikel ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama memberi tumpuan kepada pengiktirafan kewujudan pelbagai ketegangan yang ditulis dalam Kod Etika (BPSW 2021), yang membimbing pekerja sosial. Bahagian kedua membentangkan analisis bagaimana ketegangan ini boleh ditangani menerusi sokongan daripada perspektif lepas tangan dan campur tangan terhadap autonomi. Adakah salah satu daripada dua pendekatan ini penting bagi pekerja sosial, dan jika ya, bagaimanakah ia mempengaruhi pemberian sokongan mereka? Kedua-dua bahagian ini dimulakan dengan pemeriksaan pengalaman pekerja sosial bekerjasama dengan wanita yang didera, tanpa mengira latar belakang budaya dan sejarah imigrasi mereka. Kami kemudian akan memeriksa sama ada kerumitan tambahan muncul apabila mempertimbangkan persimpangan latar belakang budaya dan sejarah migrasi ini.

Tiga puluh lima pekerja sosial dari pelbagai jawatan dan lokasi yang berpangkalan di Belanda telah ditemu bual untuk penyelidikan ini. Dalam bahagian seterusnya, kita akan membincangkan kesusasteraan semasa mengenai keganasan rumah tangga, kerja sosial, dan autonomi, sebelum menerangkan tentang metodologi dan meneliti keputusan dan implikasi penyelidikan ini.

 

2.  Pencapaian Terkini dan Terbaik

2.1 Kekal bersama, Meninggalkan, atau Kembali kepada Pasangan (Ganas)

Belanda adalah antara negara Eropah pertama yang melaksanakan dasar mengenai keganasan rumah tangga pada tahun 1984 (Roggeband 2002, 2012). Namun begitu, tempat perlindungan yang tidak dibiayai telah beroperasi sejak sebelum dasar rasmi ini diwujudkan, memberikan bantuan kepada mangsa yang terselamat daripada keganasan (Roggeband 2002). Tempat perlindungan menyediakan penginapan kecemasan sementara di seluruh negara, menawarkan persekitaran yang selamat untuk mereka yang memerlukan. Tempoh penginapan yang dibenarkan untuk mangsa yang terselamat berbeza mengikut bandar, dengan tempoh maksimum sebanyak sembilan bulan (Bargellini 2021). Sepanjang berada di rumah perlindungan, wanita ditawarkan pelbagai bentuk bantuan, sama dengan negara lain (Cattaneo dan Chapman 2010; Gregory et al.2021; Robinson et al. 2020). Objektifnya adalah untuk mengurangkan emosi negatif seperti tekanan emosi (Jonker et al. 2011) dan untuk memperkasakan wanita untuk membuat keputusan sendiri dan menuntut semula autonomi mereka (Robinson et al. 2020).

Di peringkat antarabangsa, para cendekiawan  telah mempertimbangkan pelbagai faktor yang mempengaruhi keputusan wanita untuk kekal dalam, atau meninggalkan, hubungan yang penderaan (Rhodes et al. 2010; Clark 2016; Heron et al. 2022). Contohnya, untuk kekal bersama boleh dianggap sebagai lebih selamat daripada (cuba) melarikan diri. Terutamanya wanita yang mempunyai pengalaman dengan keganasan intim sebagai salah satu jenis keganasan rumah tangga. Penyelidikan menunjukkan bahawa keganasan intim dicirikan oleh corak kawalan dan paksaan yang boleh membawa kepada keganasan dan pembunuhan wanita. Perasaan takut yang seseorang pasangan mungkin meninggalkan pelaku, secara ketara, meningkatkan risiko keganasan dan bahaya (Corradi et al. 2016; Epstein dan Goodman 2018; Monckton-Smith 2021). Dalam konteks sedemikian, wanita mungkin membuat keputusan untuk kekal bersama pasangan mereka kerana meninggalkan hubungan berkemungkinan mengancam nyawa mereka. Faktor lain yang telah ditunjukkan untuk memberi kesan kepada keputusan untuk kekal bersama atau meninggalkan hubungan dera ialah anak (Rhodes et al. 2010), isu kewangan (Jeltsen 2014, Sep 12), kepercayaan bahawa penderaan adalah perkara biasa (Clark 2016), dan ketakutan untuk tidak dipercayai apabila melaporkan keganasan tersebut (Heron et al. 2022). Selain itu, mangsa keganasan rumah tangga yang terselamat tidak selalu menganggap  para profesional sebagai seseorang yang boleh dipercayai, khususnya sekiranya mereka bimbang akan anak-anak mereka akan diambil jika mereka berkongsi pengalaman penderaan mereka (Salmon et al. 2015; Heron et al. 2022).

Pemeriksaan yang lebih dekat terhadap wanita dari pelbagai latar belakang budaya mendedahkan bahawa mereka menghadapi halangan yang sama yang dinyatakan di atas, tetapi dengan pelbagai faktor tambahan. Contohnya, jangkaan budaya mungkin wujud bersama dengan stigma dan pengecualian wanita dan ahli keluarganya oleh komuniti mereka, yang akhirnya boleh mengakibatkan wanita kehilangan (sebahagian daripada) rangkaian sosialnya (Ahmad et al. 2009; Aboulhassan dan Brumley 2019; Hulley et al. 2023). Tambahan pula, status kediaman merupakan satu faktor yang wajar diberi perhatian, terutamanya bagi wanita generasi pertama yang berlatar belakangkan imigrasi bukan dari Eropah yang sering tiba di Eropah dengan permit residensi tanggungan (Okeke-Ihejirika et al. 2020; Elbelassy et al. 2023). Contohnya, wanita dengan status residensi yang tidak selamat, seperti pelarian dan pendatang perkahwinan, yang sentiasa dalam ketakutan yang berterusan akan dibuang dari negara ini. Contoh lain lagi, semasa lima tahun pertama, hak pendatang perkahwinan untuk kekal di negara ini bergantung pada permit residensi pasangan mereka. Dalam kes perpisahan, si pelaku boleh meminta pihak negeri untuk menamatkan permit residensi pasangan mereka, yang boleh menyebabkan pendatang dengan permit kahwin dikehendaki pulang ke negara asal mereka kerana dia hanya boleh meminta permit residensi sendiri selepas lima tahun. Sekiranya keganasan rumah tangga berlaku, adalah boleh untuk memohon permit persendirian; namun begitu, sukar untuk mendapatkan bukti yang diperlukan untuk memperoleh ini. Akibatnya, sesetengah wanita sanggup bertolak ansur dengan keganasan kerana ketakutan mereka dalam kehilangan hak untuk tinggal di negara tersebut (Voolma 2018; de Hart et al. 2022; Roegiers Mayeux et al. 2023).

Walaupun terdapat banyak sebab mengapa wanita memilih untuk kekal dalam perhubungan, terdapat juga kajian lepas yang meneroka apa yang membuatkan wanita meninggalkan situasi dera (lihat, untuk contoh, Ulrich 1991; Yamawaki et al. 2012; Heron et al. 2022). Di samping mahu mengakhiri penderaan (Ulrich 1991), satu lagi kebimbangan umum ialah perlindungan anak daripada hubungan tersebut (Heron et al. 2022). Dalam kedua-dua penyelidikan oleh Yamawaki et al. (2012) dan Heron et al. (2022), peserta kajian mereka menyatakan bahawa meninggalkan hubungan menjadi kurang sukar apabila menerima sokongan rasmi (cth., profesional) dan tidak formal (cth., saudara mara).

Pada masa yang sama, adalah perkara biasa untuk wanita kembali kepada pasangan selepas meninggalkan mereka, selalunya selepas tempoh pertimbangan yang penuh dengan kebimbangan (Griffing et al. 2002, 2005; Edwards et al.2018; Herman 2019). Contohnya, Herman (2019) mengkaji pelbagai kesusasteraan sedia ada berkenaan kes wanita kembali kepada hubungan dera dan mendapati bahawa selalunya wanita kembali kepada pasangan mereka kerana ikatan emosi dan cinta, ekoran kesanggupan untuk memaafkan pasangan mereka itu. Di samping itu juga, pergantungan kewangan, seperti keperluan untuk menyara diri sendiri dan, jika berkenaan, anak-anak mereka, juga merupakan faktor yang dilihat mempengaruhi keputusan untuk kembali kepada hubungan dera. Membina kesimpulan dari semua ini, Monckton-Smith (2021) berhujah bahawa ketakutan terhadap pembunuhan wanita adalah sebab yang lebih kuat dalam mendorong sesetengah wanita untuk kembali kepada pasangan yang mendera mereka.

Faktor-faktor ini semuanya penting kerana ia mempengaruhi dan mungkin mengekang pilihan yang dibuat oleh seseorang wanita itu. Bagi meneroka perkara ini dengan lebih lanjut lagi, kami seterusnya mempertimbangkan maksud autonomi dalam konteks sedemikian, dan fokus pada kedua-dua pendekatan lepas tangan dan campur tangan terhadap autonomi.

2.2 Pendekatan Lepas Tangan dan Campur Tangan terhadap Autonomi

Dalam pemahaman klasiknya, autonomi individu bermaksud menjalani kehidupan yang mengikut arahan diri sendiri. Untuk melaksanakan autonomi, syarat-syarat tertentu mesti dipenuhi. Contohnya, individu perlu bebas dari apa jua jenis paksaan atau manipulasi, dan pilihan hidup mereka mesti dihormati. Hal ini, oleh demikian, memerlukan tiada usaha masuk campur, meski pun dalam situasi di mana mereka membuat pilihan yang mungkin tidak kelihatan, dibuat untuk kepentingan terbaik mereka. Dalam pengertian ini, autonomi menegaskan bahawa seseorang itu mempunyai hak untuk membuat kesilapan mereka sendiri (Friedman 2003).

Bagi Nussbaum (2000), kebebasan untuk hidup mengikut konsep yang baik seseorang itu memerlukan orang lain untuk menghormati pilihan seseorang dalam hidup dan tidak campur tangan dalam pilihan-pilihan tersebut. Dia menekankan bahawa menghormati keputusan orang adalah aspek penting dalam mengiktiraf maruah mereka. Oleh itu, Nussbaum menggalakkan untuk menghormati keputusan seseorang individu itu, walaupun mereka mungkin bersetuju dengan visi autonominya. Hal ini kerana menghormati keputusan seseorang adalah sebahagian daripada mengiktiraf nilai dan maruah mereka.

Namun begitu, Nussbaum juga berhujah bahawa usaha tidak campur tangan mungkin tidak mencukupi untuk memastikan autonomi wanita dalam kapasiti mereka untuk menjalani kehidupan yang penting kepada mereka. Dia menyatakan bahawa "keupayaan manusia yang utama adalah mereka yang membolehkan seseorang individu itu untuk menjalani kehidupan yang mereka hargai. Kesaksamaan wanita, pada pandangan ini, bukan hanya soal hak undang-undang, tetapi kebebasan yang sebenarnya untuk mengejar keupayaan-keupayaan utama ini, dan untuk membuat pilihan tentang cara menggunakannya dengan cara yang bermakna kepada individu itu.” (Nussbaum 2000, ms 78).

Akibatnya, hal ini menuntut ketidaksamaan struktur yang mengekang autonomi dan keupayaan wanita ditangani. Ketidaksamaan ini sering munculsebagai pergantungan ekonomi, subordinasi sosial, keganasan seksual, dan diskriminasi perundangan. Oleh itu, Nussbaum berpendapat bahawa untuk mempunyai autonomi, “. . .seseorang itu mesti mempunyai keupayaan untuk membuat pilihan yang sebenar. Hal ini memerlukan bukan sahaja tiadanya halangan undang-undang terhadap kebebasan mereka tetapi juga kehadiran keadaan sosial dan ekonomi yang diperlukan, termasuk pendidikan yang mencukupi, penjagaan kesihatan, dan peluang pekerjaan. Bagi wanita, hal ini bermakna autonomi tidak boleh dicapai melainkan keupayaan asas ini boleh diakses, dan struktur sosial yang mengehadkan akses mereka kepada kelebihan ini diruntuhkan” (Nussbaum 2000, ms 82).

Dalam konteks keganasan rumah tangga, pelbagai faktor telah memastikan bahawa syarat-syarat untuk autonomi mungkin tidak direalisasikan. Contohnya, permit kediaman tanggungan, kekurangan pendapatan, atau kekurangan pilihan perumahan semuanya mengekang kemungkinan untuk membuat keputusan secara autonomi berikutan insiden keganasan rumah tangga. Dalam konteks sokongan pekerja sosial, dari perspektif ini, campur tangan dalam situasi wanita boleh dibenarkan secara moral sekiranya ia dapat menangani keadaan sosial yang menghalang autonominya dan yang membantu wanita itu dalam membuat pilihan yang mencerminkan kehendak dan kemahuannya yang lebih mendalam. Contohnya, dalam kes keganasan rumah tangga, hal ini termasuk kehidupan bebas keganasan sebagai syarat untuk kesejahteraan.

Dalam membina usaha ini, kami berpendapat bahawa autonomi boleh memerlukan kedua-dua pendekatan dalam keputusan seseorang individu dan campur tangan untuk memberi kapasiti kepada seseorang untuk menjalankan autonomi mereka. Pertama sekali, kami menamakan pendekatan lepas tangan, dan kedua, pendekatan campur tangan terhadap autonomi. Pendekatan lepas tangan kepada autonomi dicirikan oleh prinsip bahawa campur tangan dalam keputusan wanita tidak harus digalakkan, dengan kebimbangan asas adalah untuk menghormati keputusan dan penentuan diri wanita itu. Pendekatan campur tangan menuntut campur tangan yang aktif untuk merealisasikan syarat-syarat untuk menjalani kehidupan yang mereka hargai. Sepertimana pekerja sosial amat digalakkan untuk mematuhi Kod Etika Belanda (BPSW 2021), bahagian berikut akan mengkaji cara autonomi ditafsirkan dalam rangka kerja ini.

 

2.3 Etika Kod Belanda dan Keganasan Rumah Tangga

Matlamat kerja sosial adalah untuk membantu individu dan komuniti mencapai kesejahteraan. Untuk membantu pakar Belanda mencapai matlamat ini, Kod Etika telah dibangunkan berdasarkan satu set nilai-nilai teras yang dianggap penting dalam bidang kerja sosial di peringkat antarabangsa serta di Belanda (BPSW 2021; Persekutuan Pekerja Sosial Antarabangsa 2025). Kod Etika adalah untuk pekerja sosial secara umumnya dan oleh itu tidak difokuskan secara khususnya terhadap tempat perlindungan wanita dan juga keganasan rumah tangga.

Kod Belanda tidak merujuk secara eksplisit kepada autonomi sebagai satu istilah, sebaliknya merujuk kepada maruah manusia dan penentuan nasib sendiri sebagai nilai teras dalam kerja sosial. Mengenai yang hal yang kedua, Kod tersebut menyatakan: “menghormati penentuan kendiri individu akan menangani kualiti-kualiti, aspirasi dan batasan khusus individu serta menggalakkan pembebasan individu,kumpulan dan komuniti” (BPSW 2021, ms. 8). Oleh itu, aspek awal “menghormati penentuan kendiri individu" telah kami tafsirkan sebagai pandangan Kod mengenai autonomi, yang melibatkan, menurut Kod (BPSW 2021, ms. 8), bahawa pekerja sosial harus menghormati keupayaan klien mereka untuk membuat keputusan, tanpa menjejaskan proses membuat keputusan ini tersebut, dan mengelakkan paternalisme. Hal ini bermakna, seperti yang dijelaskan, bahawa mereka harus membantu wanita membuat pilihan, tanpa memaksa perspektif mereka terhadap mereka. Berdasarkan asas teori autonomi yang disebutkan dalam bahagian sebelumnya, kami mencadangkan bahawa hal ini mewakili pendekatan lepas tangan kepada autonomi. Walau bagaimanapun, hal ini tidak menandai bahawa pekerja sosial tidak boleh menyatakan tang mereka tidak bersetuju dengan keputusan pelanggan klien. Idea di sebalik hal ini adalah untuk merangsang refleksi di pihak klien, tanpa meletakkan terlalu banyak fokus ke atas hasil atau akibat dari keputusan tersebut.

Walau bagaimanapun, Kod ini juga menawarkan skop untuk pendekatan campur tangan terhadap autonomi kerana ia berpendapat bahawa "peluang pembangunan yang mencukupi dan persekitaran hidup yang selamat" (BPSW 2021, ms. 11) harus digalakkan, dan promosi pembebasan klien juga perlu diambil kira. Pekerja sosial ada untuk “menyokong dan membimbing orang ramai untuk mencapai matlamat dan pemenuhan hidup mereka" (BPSW 2021, ms. 11). Pekerja sosial mesti memastikan bahawa kepentingan klien dikenal pasti dengan jelas dan keputusan tentang kehidupan mereka dibuat selaras dengan kepentingan tersebut, sambil menggalakkan mereka dalam mencapai pemenuhan tersebut. Dalam konteks hubungan dera, hal ini bermakna menggalakkan individu tersebut untuk pertama sekali menamatkan penderaan terhadapnya. Dalam istilah ini, kami mencadangkan bahawa terdapat ambivalensi di teras Kod Etika (BPSW 2021) kerana ini boleh ditafsir sebagai menggalakkan kedua-dua pendekatan intervensi dan lepas tangan kepada autonomi.

Dalam konteks ini, adalah mencabar bagi pekerja sosial untuk menilai apa kepentingan klien mereka dan bagaimana mereka harus dibimbing dalam memberi sokongan mereka. Pekerja sosial dipercayai dengan pengalaman mereka dan mempunyai tahap "autonomi profesional" (ibid 2021), mengimplikasikan bahawa “kebebasan dan tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh profesional untuk berlaku adil kepada individu, kumpulan dan komuniti mengikut pertimbangan profesional mereka. Mereka bertindak dalam rangka kerja yang menentukan skop tindakan mereka, juga dipanggil "ruang budi bicara" (BPSW 2021, ms. 28). Namun, pekerja sosial tidak bersendirian dalam membuat keputusan mengenai campur tangan mereka. Bukan sahaja mereka perlu mengikut peraturan Belanda (Roggeband 2002, 2012), tetapi mereka juga merupakan sebahagian daripada rangkaian pelbagai pakar yang bekerja dalam keganasan rumah tangga. Contohnya, Kod Etika menyatakan bahawa “Berunding dengan rakan sekerja terdekat, pakar dan rakan sekerja lain membantu dalam menggunakan piawaian abstrak dalam kerja seharian” (BPSW 2021, ms. 7). Oleh itu, pertimbangan dan refleksi tentang teruknya sesuatu keadaan itu, selalunya antara rakan sekerja, adalah sangat penting.

Selain itu, berkenaan keganasan rumah tangga, terdapat kod pelaporan kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi seperti Veilig Thuis. Kod pelaporan menyatakan bahawa hak untuk melaporkan tanpa persetujuan dan kerjasama adalah wajar hanya apabila telah ditetapkan bahawa keganasan adalah berbentuk struktur dan pemberian bantuan tidak lagi berkesan. Di sini, sekali lagi, perkataan "betul" adalah sangat penting. Melihatnya dari sudut pendekatan lepas tangan kepada autonomi, jika pekerja sosial membuat laporan tanpa persetujuan klien mereka, mereka telah menafikan autonomi klien tersebut.. Dalam kes yang melibatkan kanak-kanak dan keganasan, adalah penting untuk mempertimbangkan tindakan yang paling tidak berbahaya untuk kanak-kanak berkenaan (BPSW 2021; Ministerie van Algemene Zaken 2024). Oleh itu, pekerja sosial tidak akan bekerja bersendirian dalam hal menyokong wanita, kerana mereka boleh meminta nasihat dan bimbingan daripada pakar-pakar lain yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran, seperti Veilig Thuis, dan juga, walaupun kami tidak mendedahkan maklumat mengenainya dalam artikel ini, demi menghormati kes berkaitan dengan keganasan rumah tangga, satu kaedah (LEC-EEG) khusus dalam fenomena ini.

Oleh itu juga, Kod Etika merangkumi pelbagai garis panduan yang terbuka kepada pelbagai tafsiran, dengan ketegangan antara implikasi dari tafsiran-tafsiran yang berbeza ini. Dari sudut lain, pekerja sosial mesti menghormati keputusan klien [pendekatan lepas tangan], dan di sudut yang lain pula, mereka mesti berusaha untuk masa depan bebas keganasan untuk klien mereka, yang memerlukan masuk campur [pendekatan campur tangan]. Secara amalinya, ketegangan ini boleh didapati dalam sokongan yang mampu ditawarkan oleh pekerja sosial. Kami beralih kepada ketegangan-ketengangan ini selepas perbincangan ringkas tentang metodologi.

 

3. Metodologi

3.1 Kajian Lebih Meluas

3.11 Topik Kajian

Kajian ini merupakan sebahagian daripada kajian yang lebih luas yang menganalisis persimpangan antara keganasan domestik , jantina, imigrasi, latar belakang budaya, dan kerja sosial daripada seorang perspektif seorang feminis.. Meskipun  kesusasteraan sedia ada mengenai keganasan rumah tangga dan kerja sosial (Keeling dan Van Wormer 2012; Van Gelder et al. 2021) adalah luas, sedikit penyelidikan telah menerokai persilangan antara fenomena-fenomena ini. Dalam konteks ini, kajian lebih luas cuba dijalankan untuk mengkaji potensi jurang dalam sokongan untuk wanita dalam kerja sosial dan mencadangkan penyelesaian praktikal untuk menangani jurang tersebut.

Kajian yang lebih luas dibahagikan kepada dua bahagian mengenai pandangan wanita dan pekerja sosial. Satu bahagian kajian meneroka pengalaman wanita sebelum tiba di tempat perlindungan, menyelam lebih dalam ke dalam faktor yang menjadikannya lebih, atau kurang, sukar untuk meninggalkan hubungan dera. Tiga faktor utama telah dikenal pasti: dinamik keluarga, faktor institusi dan jangkaan budaya. Bahagian kedua menyelidiki lebih mendalam tentang intervensi pekerja sosial terhadap wanita yang bekerja dengan mereka. Dalam penyelidikan ini juga, kami meneliti peranan identiti dan kedudukan pekerja sosial dan bagaimana faktor ini mempengaruhi bantuan yang mereka dapat tawarkan kepada wanita.

 

3.1.2 Strategi-strategi Pengumpulan Data

Dua kaedah utama telah digunakan: pemerhatian peserta dan temu bual. Diserlahkan adalah suara, di satu pihak, wanita yang mengalami keganasan rumah tangga, dan di pihak yang lain, pekerja sosial dan ketua pasukan yang bekerja dengan wanita-wanita tersebut. Secara keseluruhannya, 47 peserta telah ditubuhkan: 10 wanita dan 37 pekerja sosial, termasuk jawatan terkemuka.

 

3.1.3 Para Responden

Semua 47 responden dikenal pasti sebagai wanita. Antara yang terselamat, 5 daripada mereka telah (memperoleh) kewarganegaraan Belanda. Mereka yang lain tinggal di Belanda atas permit pemastautin tanggungan berdasarkan imigrasi perkahwinan dan memiliki kewarganegaraan Maghribi (n = 2), Iran (n = 1), Pakistan (n = 1) dan Suriname (n = 1). Semua pekerja sosial, termasuk ketua-ketua pasukan, adalah warganegara Belanda.

 

3.1.4 Pengumpulan Data

Semua temu bual dirakam melalui audio. Sebelum temu bual, responden menerima borang kebenaran dan surat maklumat dalam bahasa Perancis, Belanda atau Inggeris, bergantung pada bahasa yang mereka sukai. Surat-surat itu dibaca bersama-sama dengan pengarang pertama. Selepas itu, tetapi juga semasa temu bual, para peserta boleh bertanya dan meminta maklumat lanjut. Semua responden memberikan kebenaran bertulis.

 

3.1.5 Analisis Data

ATLAS.ti 22 digunakan untuk mengekod temu bual, menggunakan pengekodan paksi. Pengarang pertama mengekodkan temu bual mengikut pola dan ulangan jawapan. Selepas itu, topik  serupa dibahagikan kepada kategori dan tema. Semua petikan bukan bahasa Inggeris telah diterjemahkan daripada Perancis dan Belanda.

 

3.2 Kajian Ini

3.2.1 Reka bentuk Kajian

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif untuk memberi tumpuan kepada pemahaman pengalaman daripada responden, dengan menggunakan kerangka kajian naratif. Dengan menggunakan pembingkaian ini, ia bertujuan untuk membuat analisis yang mendalam dan terperinci tentang cara cerita saling berkait, serta cara ia dihasilkan secara sosial dan kontekstual (Creswell et al. 2007).

 

 

3.2.2 Strategi Pengumpulan Data

Untuk kajian ini secara khusus, temu bual telah digunakan dan ditambah dengan pemerhatian dari kerja lapangan di satu tempat perlindungan. Temu bual ini melibatkan peperiksaan dan tafsiran pengalaman responden, dengan objektif untuk memahami realiti sosial daripada perspektif peserta (Boeije dan Bleijenbergh 2019). Tambahan pula, pendekatan ini membolehkan pemeriksaan secara mendalam dan terperinci. Meskipun sebahagian besar daripada data yang didasarkan oleh kertas ini adalah diambil daripada temu bual ini, beberapa pemerhatian peserta turut digunakan untuk menawarkan konteks yang kritikal. Dalam kertas ini, kami menggunakan dua pemerhatian pusat dari tempoh kerja lapangan ini, terutamanya kelaziman wanita kembali kepada pasangan mereka selepas meninggalkan tempat perlindungan, dan cara profesional sosial membincangkan cabaran dalam menyokong wanita apabila meninggalkan tempat perlindungan pada saat-saat tidak formal.

 

3.2.3 Sampel Responden

Daripada empat puluh tujuh temu bual dalam artikel ini, hanya temu bual dari pekerja sosial (n = 35) yang digunakan, kerana mereka bekerja secara langsung dengan wanita. Sesetengah dari mereka bekerja dengan wanita dan anak-anak wanita mereka, yang lain dengan (bekas) pasangan  mereka juga. Tempat perlindungan di mana pekerja sosial ini bekerja terletak di wilayah-wilayah Utrecht, Gelderland, Brabant Utara, Holland Selatan, Holland Utara dan Friesland. Semua responden mempunyai minimum lima bulan pengalaman bekerja dengan wanita yang terdedah dengan penderaan. Dua puluh enam orang mempunyai ijazah dalam kerja sosial. Ijazah yang lain adalah dalam psikologi dan pedagogi. Oleh sebab itu, semua responden mempunyai ijazah dalam bidang sosial serupa dengan kerja sosial. Di Belanda, tempat perlindungan merupakan institusi yang jatuh di bawah payungan kerja sosial, oleh itu juga, professional yang bekerja di dalam dan dengan tempat perlindungan dikira sebagai pekerja sosial. Mereka yang ditemu bual datang daripada pelbagai latar belakang budaya. Apabila ditanya tentang latar belakang budaya yang mereka pilih, kebanyakan responden dikenal pasti sebagai  orang Belanda. Walau bagaimanapun, Cape Verde, Suriname, Maghribi, Hindu, Kurdish, Turki, Maluku, Tunisia, Brazil, Indonesia, atau gabungan dengan Belanda juga disebut.

Antara kalangan pekerja sosial, kami telah mengenal pasti empat fungsi. Kebanyakan responden merupakan pembantu residen yang fokus menyokong wanita di tempat perlindungan dengan hadir setiap hari, membekalkan aktiviti, dan membantu dengan kehidupan seharian. Kedua, sesetengahnya adalah pembantu peribadi yang menemani wanita dalam dasar undang-undang, sosial dan psikologi. Wanita yang sampai ke tempat perlindungan selalunya menerima pekerja sosial residen dan peribadi untuk membincangkan masalah, kes dan kebimbangan lain mereka. Ketiga, terdapat juga pembantu ambulatori yang membantu dan menyokong wanita di rumah mereka sendiri. Terakhir sekali dan yang paling jarang ditemu bual adalah pakar hubungan ibu dan anak yang bekerja lebih rapat dengan para ibu-ibu dan anak-anak mereka.  Pekerja-pekerja sosial ini telah bekerja sebagai pembantu peribadi atau residen sebelumnya. Pada waktu temu bual, umur mereka adalah berkisar antara 22 dan 65 tahun. Jadual 1 menunjukkan ciri-ciri responden.

 

Jadual 1: Ciri-ciri Responden

Latar Belakang Budaya Kenal Pasti Sendiri

Umur

Peranan

Orang Turki

25

Residen

Orang Belanda

37

Ambulatori

Orang Belanda

30

Peribadi

Orang Belanda

36

Residen/Ketua Pasukan

Orang Tanjung Verde-Belanda

25

Residen

Orang Turki

50

Residen/Kemasukan

Orang Belanda

58

Peribadi

Orang Belanda

42

Peribadi

Orang Brazil-Belanda

25

Residen

Orang Belanda

64

Residen

Orang Belanda

50

Residen/Peribadi

Orang Belanda

35

Peribadi

Orang Indonesia-Portugis-Belanda

41

Residen/Ambulatori

Orang Maghribi-Belanda

33

Residen

Orang Belanda

61

Ambulatori

Orang Belanda

47

Ambulatori

Orang Maghribi-Belanda

Umur Sebenar Tidak Diketahui

Anak-Ibubapa

Orang Belanda

48

Ambulatori

Orang Tunisia-Belanda

24

Residen

Orang Suriname

56

Residen

Orang Maluku-Belanda

49

Peribadi

Orang Afghan-Slavic

31

Peribadi

Orang Maghribi

31

Residen

Orang Maghribi-Belanda

44

Ambulatori

Orang Belanda

49

Peribadi

Orang Belanda

65

Ambulatori

Orang Belanda

23

Residen

Orang India-Belanda

26

Peribadi

Orang Belanda

57

Ambulatori

Orang Asia-Belanda

22

Residen

Orang Maghribi-Belanda

38

Ambulatori

Orang Kurdish

51

Ambulatori/Pakar HBV

Orang Maghribi

31

Anak-Ibubapa

Orang Suriname

60

Peribadi

Orang Indonesia-Suriname-Belanda

25

Residen

 

 

3.2.4 Pengumpulan Data

Semua temu bual dibuat dalam bahasa Belanda dan berlangsung antara empat pulih dan sembilan puluh minit. Semasa temu bual, hanya responden dan penemu bual yang hadir. Selepas itu, semua temu bual, kecuali yang pertama sekali, dihantar ke sebuah syarikat untuk ditranskripsi. Pekerja sosial menerima temu bual mereka selepas transkrip dan boleh menambah, membuang atau buat perubahan ke atas transkrip tersebut. Maklumat analisis data diterangkan dalam Bahagian 3.1.5.

 

 

 

4. Hasil Kajian

4.1 Kerumitan Autonomi

4.1.1 Ketegangan Antara Keselamatan dan Autonomi

Seperti yang diperhatikan semasa kerja lapangan, dan dikongsi dengan semua pekerja-pekerja sosial yang kami temu bual, adalah biasa untuk wanita kembali ke pasangan mereka. Dalam kes-kes tertentu, wanita akan tinggalkan tempat perlindungan selepas semalam tanpa notis awal. Apabila meninggalkan tempat perlindungan lebih awal dari yang dijangkakan, wanita diperlukan untuk menandatangani sekeping dokumen yang menyatakan niat mereka untuk pergi. Sekiranya wanita berfikir untuk meninggalkan tempat perlindungan, pekerja sosial menggalakkan wanita untuk berkomunikasi secara terbuak sekiranya untuk kembali itu adalah hajat mereka. Hal ini dipastikan oleh Nynke:

“Saya juga ada katakan kepada seorang wanita: awak sentiasa boleh kembali, tetapi jujurlah kepada saya,; sekiranya awak kata ‘Saya ingin kembali’, kita akan usahakannya, kita akan tengok kalau kita boleh biarkan hubungan awak diteruskan dalam keadaan yang selamat.”

                                                                                                                           -Nynke

Pekerja-pekerja sosial selalunya berkongsi yang mereka tidak menentang idea yang seseorang wanita itu kembali kepada pasangan mereka, bergantung kepada keselamatan yang dipersepsikan oleh tindakan itu. Apabila pekerja sosial menilai yang situasi berkaitan sudah cukup selamat, dan bahawa keganasan sudah tidak akan berlaku, mereka tidak akan menghalang mereka pulang. Malah, mereka mempertimbangkan bagaimana hubungan tersebut boleh diteruskan dengan selamat, seperti yang dikatakan Aisha:

“Saya tidak begitu bimbang sama ada mereka akan berpisah atau sama ada mereka akan kembali bersama, tetapi ia benar-benar mengenai keselamatan mereka untuk saya. Jika anda akan memilih untuk berpisah, bagaimana kita boleh menjadikannya seaman mungkin? Dan jika anda akan memilih untuk kembali, bagaimana kita boleh membuatnya seaman mungkin?”

                                                                                                                           -Aisha

Walaupun kepulangan yang selamat berlaku, hal ini tidak menjanjikan hasil yang pasti. Secara kritikalnya, seperti beberapa pekerja sosial nyatakan, kewujudan trajektori ke arah kepulangan yang lebih selamat tidak menandakan bahawa hasilnya akan selamat:

Ada juga jagaan, lawatan yang diselia dan macam-macam lagi. Dan pada akhirnya, mereka kini kembali bersama. Jika itu benar-benar keinginan wanita itu, maka anda cuba sediakan dan sokong dia dalam hal itu dan serahkannya sebaik mungkin, seselamat yang anda boleh, dan biarkan ia berlalu. Bukan untuk saya berkata: "Tidak, anda tidak sepatutnya melakukan itu atau itu tidak bijak". Tetapi ia adalah penting untuk menyedarkan dia tentang kemungkinan risiko yang terlibat; apa yang anda akan lakukan jika ia berlaku lagi?”

                                                                                                                           -Lin

Mengikuti kenyataan ini, seperti Lin nyatakan, pilihan terakhir wanita adalah satu-satunya yang perlu dihormati oleh pekerja sosial. Idea ini sesuai dengan pendekatan lepas tangan kepada autonomi, di mana sokongan perlu diterhadkan kerana ia mementingkan autonomi setiap individu wanita dalam membuat keputusannya secara kendiri. Walau bagaimanapun, Lin tidak semestinya memperakui keputusan itu sebagai keputusan yang betul, memandangkan adanya potensi untuk risiko berterusan dalam hubungan itu. Akibatnya, kita dapat perhatikan bahawa terdapat ketegangan antara memastikan keselamatan dan kesejahteraan seseorang wanita itu dan menghormati keputusannya, kedua-dua nilai ini dikongsi dalam Kod Etika.

Menambah kerumitan lebih lanjut adalah fakta bahawa sesetengah wanita juga ditekan dengan faktor-faktor tambahan yang mengekang mereka. Pekerja sosial berkongsi bahawa mereka juga bekerja dengan wanita yang membayangkan untuk kembali kepada hubungan dera kerana jangkaan budaya dan kekangan institut ke atas mereka, seperti unsur paksaan permit residen. Pekerja sosial mencatatkan bahawa faktor-faktor ini amat lazim dalam mempengaruhi proses membuat keputusan wanita yang berlatar belakangkan migrasi generasi pertama dan kedua di mana jangkaan  budaya bukan Barat mungkin hadir yang mengutamakan untuk kekal dalam perkahwinan atau perhubungan lebih dari atas pertimbangan lain, dan di mana status imigresen yang tidak menentu boleh mengekang pilihan yang boleh dibuat oleh wanita.

 

 

4.1.2 Peranan Tekanan Budaya dan Institut dalam Kembali kepada Pasangan

Pekerja sosial mengakui bahawa mereka telah bekerja dengan wanita yang berhadapan dengan jangkaan budaya yang mengatakan mereka perlu kekal atau kembali kepada pasangan mereka, biarpun ada keganasan sedang berlaku. Pekerja sosial mengenalpasti kes-kes seperti ini mengikuti corak-corak yang sama: semasa dalam hubungan mereka, wanita mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga mereka. Akan tetapi, meninggalkan pasang mungkin membawa kepada penyisihan dan perpecahan. Perpecahan ini mungkin sementara, tetapi kadang kala wanita perlu memilih sama ada untuk kekal berpisah dan kehilangan (sebahagian) rangkaian sosial mereka, termasuk saudara mara, atau kembali kepada pasangan pendera mereka dan juga kembali berbaik dengan rangkaian mereka. Pekerja sosial yang kami temu bual mencatatkan yang hal ini merupakan satu pilihan yang sukar. Meski pun sesetengah pekerja sosial lebih biasa dengan jangkaan budaya seperti ini kerana mereka juga membesar dengan budaya yang sama, untuk mereka yang lain seperti Lena, perbezaan budaya ini adalah sesuatu yang mereka sentiasa kena ingat:

“Pada kami [perspektif Barat]ianya berbeza, tetapi untuk wanita ini, ia mungkin pilihan yang bagus untuk kembali kerana beban kehilangan keluarganya hasil dari penceraian mungkin lebih teruk.”

                                                                                                                                    -Lena

Tambahan pula, enam pekerja sosial menunjukkan bahawa, dalam pengalaman mereka, wanita selalunya tahu yang keganasan tidak boleh diterima. Pada masa yang sama juga, mereka mengakui bahawa wanita yang ditanam dengan unsur penstrukturan keluarga dan didisiplinkan dengan stigma selalunya bermatlamat untuk mengelakkan memalukan keluarga mereka. Mone merupakan salah seorang pekerja sosial yang mengalami stigma ini selepas dia juga telah meninggalkan pasangan sebelum menjadi pekerja sosial.

“Sudah tentu adanya wanita yang berfikir: ’Tahu tak, mungkin saya yang terlalu cerewet? Apalah sangat beberapa tamparan itu? Selagi saya berada di sekeliling keluarga saya.”

                                                                                                                           -Mona

Sekali sekala, hal ini boleh mengakibatkan seseorang wanita itu dipaksa oleh keadaan sekelilingnya dalam memutuskan untuk kembali sekiranya dia ingin tetap berhubung dengan keluarganya. Dalam kes ini, tidak kira macammanapun, wanita akan terperangkap dalam ikatan kesan-kesan negatif, sama ada risiko kehilangan saudara mara mereka atau risiko keganasan dan kesakitan yang berterusan. Dalam kes-kes begini, pekerja sosial berkongsi tentang wanita yang mempunyai kesukaran dalam membuat keputusan sebegini mungkin, terutamanya ingin berbincang dengan pekerja sosial dengan latar belakang budaya dan pengalaman yang sama. Persamaan ini boleh membantu untuk membandingkan situasi mereka. Contohnya, Ela mencatatkan bahawa:

“Saya seorang imigrasi, saya sudah bercerai, ibu tunggal dan saya masih boleh teruskan hidup. Mereka boleh juga jadikan saya contoh.”

                                                                                                                           -Ela

Tambahan lagi, wanita berlatarbelakangkan imigrasi generasi-pertama yang datang dari negara-negara bukan Eropah mungkin juga mengalami kekangan institut berkenaan permit residen, kadang-kadang ditambah lagi dengan jangkaan budaya dan kurangnya sokongan ahli keluarga. Adalah biasa untuk seorang wanita sampai ke Belanda menggunakan permit residen tanggungan  di tangan pasangannya, yang ada kemungkinan akan membatalkan residensinya, mengakibatkan dia perlu balik ke negara asalnya. Schrneue bercerita:

"[Wanita berkata:] "Saya tidak lama di sini [Belanda], saya tidak ada anak". Dan kemungkinan besar IND kemudian akan berkata: Anda tidak akan mendapat permit residen, anda perlu pulang ke negara anda. Itu boleh menjadi motif untuk seseorang berkata [Saya akan kembali kepada pasangan saya], dan betullah begitu. Ini juga ada kaitan dengan ketakutan bahawa keluarga akan membunuhnya.”

                                                                                                               -Schrneue

Wanita yang sampai menggunakan permit residen tanggungan, seperti imigrasi perkahwinan, selalunya berada dalam situasi yang terdedah dan situasi ini boleh ditonjolkan oleh jangkaan budaya. Dalam kes-kes tertentu, dihantar kembali ke negara asal mereka lebih ditakuti dari mengalami keganasan, membawa kepada wanita-wanita ini sanggup bertahan dengan keganasan tersebut di Belanda sehinggalah mereka mempunyai lebih keselamatan berkenaan dengan permit residen mereka.

Dalam petikan Schrneue di atas, kita juga boleh lihat yang, untuk sesetengah wanita, meninggalkan pasangan mereka tidak bermaksud pengakhiran kepada keganasan yang mereka alami. Contohnya, ahli keluarga mungkin menentang keputusan mereka untuk pergi dan mungkin memberi reaksi negatif terhadap keputusan itu. Tambahan pula, sesetengah pasangan adalah pendendam dan memberi risiko berterusan kepada wanita yang tinggalkan mereka. Contoh lain pula, di salah satu tempat perlindungan, Sara merujuk kepada satu kes seorang wanita dibunuh oleh bekas pasangannya selepas dia tinggalkannya:

“Kami baru-baru ni ada satu kes baru, di mana seorang wanita betul-betul dibunuh. Seorang wanita yang tinggal dengan kami. [...] rakan sekerja saya sudah mencuba sedaya upaya [untuk menolongnya].”

                                                                                                                                    -Sara

Contoh ini menunjukkan bahawa, bagi sesetengah wanita, berpisah dengan pasangan mereka boleh membawa kepada akibat berbahaya dan memerlukan sokongan dan keselamatan yang besar. Pada masa yang sama, risiko keganasan tersebut menimbulkan ketakutan yang lebih kepada seseorang wanita itu, bertindak sebagai sebab tambahan untuk mereka mempertimbangkan untuk kembali kepada pasangan mereka. Dalam konteks ini, risiko keganasan amat membebankan kedua-dua saat kembali dan kemungkinan untuk melarikan diri.

Oleh itu, pergeseran paling biasa yang dialami oleh pekerja sosial adalah antara perlu menghormati pilihan wanita itu dan bimbang tentang keselamatan dan kesejahteraannya. Akibatnya, hal ini menimbulkan persoalan tentang perasaan pekerja sosial tentang ketegangan ini, dan yang lebih penting, bagaimana mereka memilih untuk menyokong wanita, sambil mengingati Kod Etika mereka.

 

4.2 Sokongan Aktif atau Lepas Tangan

4.2.1 Sokongan dan Autonomi

Pekerja sosial berkongsi bahawa, dalam konteks di mana kanak-kanak tidak ada dalam hubungan, kebebasan wanita dalam membuat keputusan diutamakan. Hal ini bermakna mereka tidak boleh campur tangan terlalu kuat dan mengamalkan pendekatan lepas tangan terhadap wanita tersebut. Hal ini sering mengakibatkan perasaan tidak berdaya dalam kalangan pekerja sosial. Contohnya, seperti yang diceritakan oleh Anne dan Rolinka:

"Kemudian kami cakap: hidup awak, semoga berjaya dengannya. Kalau awak ingin dapat masalah maka terus lakukannya. Sekurang-kurangnya itulah bahasa yang sering dituturkan. Akhirnya, saya tidak memutuskan kehidupan orang lain; ia masih bantuan secara sukarela. Apa yang boleh saya lakukan ialah menyedarkan orang itu tentang risikonya untuk kembali [. . .]. Selalunya itu sahaja yang anda boleh lakukan, dan selalunya kami berasa sangat tidak berdaya."

—Anne

“Kami pekerja sosial sukarela. Kami tidak boleh paksa seseorang untuk terus tinggal di sini.”

                                                                                                                   -Rolinka

Walaupun tidak secara khusus menamakannya sebagai perasaan tidak berdaya, semua pekerja sosial—tanpa pengecualian—menyatakan bahawa mereka tidak boleh membuat keputusan untuk orang lain, terutamanya kerana bantuan yang mereka tawarkan adalah secara sukarela, walaupun mereka tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat. Membuat seseorang wanita itu sedar akan akibat daripada keputusannya adalah yang terbaik yang boleh mereka lakukan, jadi mereka berusaha untuk berhujah. Oleh itu, walaupun meningkatkan kesedaran boleh dilihat sebagai tindakan campur tangan, mereka kebanyakannya menggunakan pendekatan lepas tangan kepada autonomi wanita.

Namun begitu, semua pekerja sosial mengakui bahawa, dalam kes berbahaya, mereka berusaha untuk campur tangan dengan cara yang lebih intervensionis. Selaras dengan ketegangan antara lepas tangan dan autonomi campur tangan yang terdapat dalam Kod Etika (BPSW 2021), pekerja sosial juga cuba mewujudkan pendekatan intervensionis terhadap autonomi; contohnya, dengan memudahkan proses refleksi yang berterusan, yang bertujuan untuk menyokong pelanggan mereka dalam membuat keputusan yang terbaik. Mereka melakukan ini semasa perbualan dengan wanita yang berkongsi bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk pulang. Ia mungkin dinyatakan dengan cara yang lebih halus, seperti yang dinyatakan dalam petikan berikut:

"Kemudian saya berkata, "awak tahu, baru semalam kami mengadakan perbualan tentang awak tidak mahu, bahawa awak tidak akan pergi lagi. Jadi apa yang buatkan awak mahu kembali sekarang? Adakah awak juga bercakap mengenainya dengan pasangan awak? Saya memang nampak risiko, kerana ada sebab awak ada di sini”.”

                                                                                                                  —Nanda

Walau bagaimanapun, sesetengah pekerja sosial mengakui bahawa mereka menggunakan pendekatan yang lebih langsung dan berkongsi perspektif mereka sendiri tentang situasi itu, menekankan potensi implikasi  untuk kembali, dan menasihati wanita itu untuk mempertimbangkan semula keputusannya:

"Dan kemudian saya berkata kepadanya, atau sekurang-kurangnya menasihatinya: 'Awak tahu, jangan buat apa-apa lagi, jangan ambil sebarang langkah sehingga awak bercakap dengan pembantu peribadi awak dan sementara itu awak boleh memikirkannya, kerana ada sebab awak ada di sini. Awak tinggalkan dia ada sebab. Dan apa sebab awak sekarang yang awak nak balik dengan dia? Awak, saya tahu awak masih cintakan dia, tetapi mesti awak tahu, itu bukan segala-galanya'."

                                                                                                                         —Mina

Kedua-dua contoh ini, secara halus atau langsung, memaparkan pendekatan yang lebih campur tangan kepada autonomi. Dalam kes ini, pekerja sosial mahu wanita itu memikirkan semula keadaannya kerana mereka tahu bahawa akibatnya mungkin tidak menggalakkan kesejahteraannya. Mereka secara lisannya campur tangan dan mencadangkan laluan yang mungkin membawa kepada hasil yang lebih selamat. Namun, mereka berasa terhad kerana usaha maksimum yang boleh mereka lakukan ialah hanya membincangkan situasi dan hasil.

Apabila kanak-kanak ada dalam hubungan dan berada dalam bahaya, pekerja sosial mempunyai hak untuk memaklumkan “Veilig Thuis”. Jika wanita itu masih memilih untuk kembali, hal ini boleh menyebabkan campur tangan daripada kerajaan dan pemindahan kanak-kanak ke dalam jagaan mereka.

"Andaikan seorang wanita berkata, 'Saya tetap akan pulang ke rumah', dan kami tidak menyokongnya demi kesejahteraan anak-anaknya, maka kami perlu melaporkannya. Kami mempunyai kewajipan untuk melaporkan bahawa seorang wanita membuat pilihan yang kami rasa tidak selamat untuk kanak-kanak tersebut.”

                                                                                                                            —Flora

Jadi, terdapat perbezaan kritikal dalam pemberian sokongan antara wanita dengan dan tanpa anak. Manakala bagi wanita tanpa anak, pendekatan lepas tangan untuk autonomi selalunya diutamakan pada pandangan pekerja sosial, dan campur tangan adalah terhad kepada perbincangan, apabila hadirnya anak, pendekatan intervensionis jauh lebih mungkin untuk diutamakan. Pada masa yang sama, apabila jangkaan budaya mempengaruhi keputusan wanita, pekerja sosial mungkin campur tangan dengan cara yang berbeza.

 

4.2.2 Tekanan Tambahan Dalam Jangkaan Budaya dan Kebergantungan Berdasarkan Sejarah Imigrasi

Apabila jangkaan budaya mempengaruhi pembuatan keputusan wanita, pekerja sosial, terutamanya pembantu peribadi dan ambulatori kerana keakraban mereka dengan pelanggan mereka dan rangkaian mereka, sering melakukan aktiviti tambahan dan campur tangan untuk membantu wanita, dengan syarat ada persetujuan dari wanita tersebut. Sesetengah pekerja sosial cuba menyokong penyelenggaraan rangkaian sosial untuk wanita yang tidak mahu kembali kepada pasangan mereka, tetapi takut akan risiko pengusiran dan stigmatisasi seterusnya oleh rangkaian sosial mereka. Contohnya, dalam kes stigma, pekerja sosial cuba menerangkan keadaan kepada ahli keluarga atau bertanya kepada pemimpin agama (contoh: seorang imam) untuk menjadi perantara. Maryam dan Eveline menjelaskan perkara ini dalam istilah berikut:

“Kami juga terbuka untuk bercakap dengan ibu bapa, dan kadang-kadang kami melakukannya walaupun dari jauh, di mana kita sebenarnya menelefon ke luar negara untuk menjelaskan situasi yang ada. Selalunya mereka, terutamanya ibu bapa di luar negara, mempunyai imej yang mereka ada tentang tempat perlindungan wanita, eh, bahawa ia adalah rumah pelacuran dan.... baiklah, bukan semua orang berpendapat begitu, tetapi ada segelintirnya. Jadi jika anda kemudian memulakan perbualan itu dan menerangkan sedikit tentang bagaimana keadaannya di sini, jenis bantuan apa, ada yang kemudiannya diyakinkan apabila mereka mengetahuinya hanya wanita yang tinggal di sini. Hal itu memberi sedikit ruang.”

                                                                                                                       — Maryam

“Saya akan cuba berbincang dengan pelanggan untuk melihat cara mendekati ibu bapa mereka dengan cara yang terbaik. Kerana ibu bapa itu sebenarnya sangat penting. Dan pendekatan itu tidak semestinya dibuat oleh kami kerana mereka juga sering mempunyai pengantara. Ia juga boleh jadi imam, atau ia boleh juga jadi ahli keluarga. Adakah terdapat orang yang boleh menyokongnya dalam proses bersatu hati dengan ibu bapanya?”

                                                                                                                           —Eveline

Jika boleh, mereka memudahkan pekerja sosial dari latar belakang budaya yang sama untuk bercakap dengan ahli keluarga, didorong sebahagiannya oleh persamaan bahasa tetapi juga oleh pemahaman bersama tentang nuansa budaya. Apabila masalah pengusiran dan permit kediaman muncul, pekerja sosial—sekali lagi, khususnya pembantu peribadi—menggalakkan dan membantu wanita untuk mencari bukti penderaan yang mungkin membantu mereka untuk dapat tinggal di negara ini. Sokongan ini bertujuan untuk memastikan wanita mempunyai keupayaan untuk menjalani kehidupan yang mereka hargai, sekali lagi menggunakan pendekatan intervensionis terhadap autonomi.

Dalam sesetengah keadaan, pekerja sosial juga sentiasa berhubung dengan wanita walaupun selepas mereka telah meninggalkan tempat perlindungan atau tidak lagi dibantu. Contohnya, Sara memberitahu kami bahawa dia kadang-kadang memanggil seorang wanita, atau wanita itu memanggilnya, untuk bercerita tentang perkembangan terkini. Jika wanita itu menggunakan frasa tertentu, Sara akan tahu bahawa ia tidak berjalan lancar dan mereka cuba mencari penyelesaian:

"Kemudian kami akan bersetuju dengan kod kami sendiri dan apabila saya menghubunginya kami akan bercakap tentang beg. Dan saya akan bertanya kepadanya: "Anak-anak suka beg itu?" Dan dia akan berkata: "mereka semua menyukainya", maka [saya tahu] dia masih boleh melakukannya. Dan jika dia berkata: “kanak-kanak tidak suka beg itu atau mereka tidak begitu gembira dengannya”, kemudian saya tahu, baiklah, perkara yang sebenarnya tidak berjalan lancar dan saya perlu menghubungi polis”

                                                                                                                                —Sara

Pendekatan ini tidak dijangkakan daripada Sara sebagai pekerja sosial, dan mungkin juga tidak dibenarkan oleh kerana jarak ideal pelanggan-pekerja sosial dikekalkan, faktor yang selalunya bergantung kepada sama ada kes itu ditutup sepenuhnya atau tidak.

Oleh itu, kami melihat bahawa pekerja sosial mengalami pelbagai ketegangan apabila bekerja dengan wanita yang terdedah kepada keganasan rumah tangga, terutamanya dalam konteks di mana wanita mungkin mahu kembali kepada keadaan yang tidak selamat. Kebimbangan terhadap keselamatan mereka adalah yang paling ketara, digabungkan pula dengan perasaan tidak berdaya kerana batasan-batasan yang dialami pekerja sosial dalam usaha untuk menyokong wanita yang telah terselamat daripada keganasan rumah tangga. Ketegangan ini juga menjejaskan laluan mereka untuk menyokong, sama ada secara lepas tangan atau campur tangan. Namun, pendekatan lepas tangan kepada autonomi kebanyakannya digalakkan dalam sokongan, membawa kita untuk mempertimbangkan sama ada mungkin terdapat peranan yang lebih berisi untuk pendekatan campur tangan dan juga tafsiran campur tangan dalam Kod Etika.

 

5. Perbincangan

5.1 Perlukah Sokongan yang Lebih Masuk Campur Dipertimbangkan?

Objektif utama artikel ini adalah untuk mengkaji cara bagaimana pekerja sosial campur tangan apabila wanita mempertimbangkan untuk kembali kepada pasangan mereka dalam situasi di mana keselamatan masih menjadi kebimbangan. Untuk mengkaji intervensi ini dengan lebih terperinci, kami telah menggunakan konsep autonomi, berdasarkan pendekatan keupayaan Martha Nussbaum (2000), di mana kami mentakrifkan terutamanya sebagai pendekatan intervensionis terhadap autonomi, dan membezakannya dengan pendekatan lepas tangan kepada autonomi ini. Walau pun pendekatan lepas tangan mengehadkan campur tangan dalam keputusan wanita, pendekatan intervensionis menggalakkan penyediaan alat dan syarat untuk memastikan wanita membuat keputusan yang menyokong matlamat hidup mereka. Hal ini membawa kami untuk bertanya pendekatan mana yang lebih digalakkan dalam kerja sosial, di mana intervensi adalah berdasarkan garis panduan yang digariskan dalam Kod Etika Belanda (BPSW 2021).

Dalam membincangkan Kod Etika, kami berpendapat bahawa ketegangan timbul dalam pendekatan pekerja sosial kepada intervensi kerana adanya kekaburan dalam garis panduan apabila ia berkaitan dalam mentafsir dan menggubal autonomi (BPSW 2021). Dalam kerja sosial, autonomi pelanggan adalah nilai yang penting, yang semestinya ditekankan dalam Kod sebagai "menghormati penentuan kendiri individu” (BPSW 2021, hlm. 8) dan ditafsirkan sebagai pendekatan autonomi lepas tangan. Namun, Kod ini juga menggalakkan untuk mempunyai persekitaran hidup yang selamat dan menggalakkan pembebasan individu. Oleh itu, Kod mengesyorkan kedua-dua pendekatan lepas tangan dan intervensionis terhadap autonomi (BPSW 2021). Namun, kami dapati bahawa, di kalangan semua pekerja sosial, pemahaman tentang autonomi sebagai pendekatan lepas tangan adalah lebih biasa: mereka percaya bahawa mereka tidak sepatutnya campur tangan dan bahawa keraguan untuk campur tangan ini adalah cara untuk menghormati autonomi wanita. Kepercayaan umum daripada pekerja sosial ialah yang paling mereka boleh lakukan ialah menerangkan kepada wanita tentang bahaya sesuatu keadaan dan mencadangkan untuk kembali semula itu—secara amnya—tidak disyorkan.

Sekatan ini menyebabkan perasaan tidak berdaya, dan beberapa pekerja sosial berusaha untuk campur tangan dengan lebih aktif. Apabila wanita mempertimbangkan untuk kembali kerana tekanan budaya atau institusi, seperti pendatang perkahwinan, pekerja sosial merasakan bahawa mereka boleh campur tangan lebih aktif selagi wanita itu bersetuju dengan tindakan itu. Hasilnya, pekerja sosial akan melakukan yang terbaik untuk menyokong wanita itu untuk membuktikan keganasan yang dia alami supaya dia boleh menerima permit kediaman bebas (de Hart et al. 2022; Roegiers Mayeux et al. 2023). Apabila seseorang wanita itu memilih untuk tidak mahu kembali kerana pengaruh ahli keluarganya, pembantu peribadi dan ambulatori mungkin mencadangkan kepada wanita itu untuk berbincang dengan saudara maranya untuk menjelaskan keadaan dan meredakan kebimbangan saudara mara tersebut. Dalam mengamalkan pendekatan ini, pekerja sosial melakukan lebih daripada yang diharapkan daripada mereka, menunjukkan sensitiviti budaya dan menggunakan kesamaran Kod Etika (BPSW 2021) untuk menyokong pendekatan lebih intervensionis. Kadangkala, bertentangan dengan peraturan kelakuan, pekerja sosial memilih untuk mengekalkan hubungan dengan seseorang wanita walaupun selepas mereka meninggalkan tempat perlindungan, seperti yang ditunjukkan melalui Sara. Begitu juga, campur tangan ini hanya berlaku apabila seseorang wanita itu bersetuju. Langkah tambahan ini menggambarkan bahawa pekerja sosial sangat berdedikasi dan bermotivasi untuk menyediakan bantuan, tetapi merasa terkekang oleh batasan yang mereka percaya dikenakan oleh perundangan yang mengutamakan prinsip autonomi pelanggan.

Oleh itu, dalam bidang kerja sosial, autonomi biasanya difahami sebagai hak untuk membuat keputusan anda sendiri, satu prinsip yang diharapkan untuk dipegang oleh pekerja sosial. Walau bagaimanapun, satu tafsiran sekunder autonomi hadir dalam rangka kerja kawal selia, iaitu sebagai satu strategi untuk meningkatkan autonomi pelanggan. Pendekatan ini, walaupun tidak digariskan secara eksplisit dalam teks, kadang-kala dilaksanakan oleh pekerja sosial, di mana pekerja sosial kadangkala menerapkannya tetapi tanpa merasa mereka berhak sepenuhnya (BPSW 2021).

Penemuan ini mencadangkan bahawa keseimbangan antara pendekatan lepas tangan dan campur tangan dalam kes keganasan rumah tangga memerlukan pertimbangan yang teliti dan mungkin perlu dinilai semula. Kod Etika semasa, sebahagiannya bercanggah (BPSW 2021), telah ditafsirkan sebagai mengenakan had ke atas keupayaan pekerja sosial untuk mengambil lebih banyak langkah-langkah intervensi. Hal ini mewujudkan risiko keselamatan yang serius, kerana pendekatan lepas tangan boleh mengakibatkan wanita kembali kepada situasi berbahaya dan dianiaya, berpotensi membawa kepada keganasan selanjutnya dan dalam kes yang melampau, pembunuhan wanita. Oleh itu, berikutan Nussbaum, kami mencadangkan bahawa keutamaan seharusnya kita perlu mewujudkan keadaan selamat di mana wanita boleh membuat pilihan. Walau bagaimanapun, ia adalah penting bahawa sebarang campur tangan sedemikian tidak bersifat paternalistik dan hal tersebut perlu menjadi situasi antara pendekatan intervensi melampau dan lepas tangan. Contohnya, salah satu cara melihat pendekatan intervensionis yang diterapkan ialah wanita harus mempunyai akses kepada semua maklumat yang diperlukan untuk dapat membuat pilihan dalam tinggal di tempat perlindungan atau berpisah, kembali kepada pasangan mereka, atau pilihan lain (cth., kembali ke negara asal usul). Oleh itu, pekerja sosial mesti menyedari semua potensi alternatif yang mereka boleh tawarkan kepada mangsa wanita. Di samping itu, jika ini adalah sesuatu yang diinginkan wanita, pekerja sosial harus menggalakkan refleksi dengan menawarkan alat untuk mengimbangi pilihan mereka. Dalam keadaan di mana wanita tidak mempunyai kemahiran dalam bahasa Belanda; contohnya, imigrasi perkahwinan yang baru sampai ke negara Belanda, keadaan mereka boleh diterangkan dalam bentuk ilustrasi. Contohnya, Heron et al. (2022) menganjurkan pendekatan yang sama dalam kerja mereka yang mengkaji sebab-sebab wanita meninggalkan pasangan mereka. Pendekatan sedemikian, kami berpendapat, juga boleh menjadi alat yang berkesan dalam konteks ini. Hal ini akan membawa kepada mereka mempunyai pelbagai laluan yang tersedia, setiap satu dengan risiko dan faedahnya. Tanpa mengira keputusan yang mereka ambil, ia membolehkan wanita lebih banyak agensi. Walaupun ini memerlukan lebih banyak kerja bagi pekerja sosial, ia boleh membantu wanita dalam membuat pilihan autonomi.

Jika wanita memutuskan untuk berpisah lebih lama dengan pasangan mereka, atau tinggal lebih lama di tempat perlindungan, psikoterapi perlu disediakan. Sekiranya mereka masih ingin kembali kepada pasangan mereka tetapi perlu menjaga jarak terlebih dahulu, (secara beransur-ansur) hubungan yang lebih kerap dalam persekitaran selamat boleh ditawarkan. Kami tidak mahu berhujah bahawa wanita tidak boleh sesekali kembali kepada pasangan mereka; kriteria utama untuk sebarang kepulangan mestilah keganasan telah berhenti dan tidak berulang. Cabaran untuk pekerja sosial yang telah kami terokai di sini sering tertumpu mengenai penghapusan keganasan ini dan risiko keganasan sebagai titik permulaan untuk membina semula perhubungan dan sokongan yang berterusan. Oleh itu, pendekatan kami dibina berdasarkan perspektif ramai pekerja sosial yang dibincangkan di sini (contohnya, naratif Aisha), bahawa wanita tidak semestinya berpisah dengan pasangan mereka selepas mengalami penderaan dalam semua kes. Sebaliknya, walaupun ini sudah digalakkan, kami terus menyokong tawaran sokongan dalam menamatkan keganasan dan mewujudkan semula hubungan yang sihat bagi mereka yang mahu kembali kepada pasangan mereka, dan telah memberi tumpuan kepada cara yang berbeza-beza di mana pekerja sosial mengemudi ketegangan ini. Jika pendekatan sedemikian digalakkan, itu juga bermakna tempat perlindungan memerlukan belanjawan tambahan untuk menyediakan psikoterapi.

Tambahan lagi, ia juga memerlukan penglibatan sukarela dari pihak pasangan dalam perjumpaan hubungan yang selamat dan ada perantaraan. Sebahagian pendekatan intervensi yang kami cadangkan sudah diperakui oleh bandar Rotterdam, (Lokale Wet- en Regelgeving 2024), yang menumpukan kepada pelaku keganasan dan membantunya untuk menjadi dan kekal tidak ganas. Mengenalpasti bahaya paternalisme, hal ini sepatutnya dengan syarat yang soal masuk campur ini menghormati persetujuan wanita, dan bahawa mereka telah terlibat dalam pertukaran refleksi dengan rakan sekerja tentang kes di mana mereka mempertimbangkan untuk lebih campur tangan.

Lagi pula, tidak kira apa keputusan yang dibuat oleh wanita, sokongan diperlukan dalam semua kes, sama ada wanita tersebut berkeputusan untuk kembali kepada pasangannya atau kekal berpisah dengannya. Bimbingan secara emosi, sah dan kewangan perlu ditawarkan dalam semua kes. Walau pun pilihan ini memberi satu set cabaran praktikal, ia berdasarkan prinsip bahawa sokongan tidak bersyarat atas keputusan seseorang wanita itu. Satu pendekatan berpotensi termasuklah mengekalkan hubungan dengan pekerja sosial khusus selepas wanita itu kembali tanpa perlu bimbingan ambulatori, demi untuk mengekalkan sokongan dan memastikan sokongan itu kekal boleh diakses. Seperti yang digambarkan dalam kes Sara, sesetengah pekerja sosial sudah tetap berhubung dengan wanita selepas mereka kembali kepada pasangan mereka, walaupun ia dalam bentuk informal. Menggunakan pendekatan ini dan memformalkan hubungan ini dengan sokongan khusus, boleh mengurangkan beban kerja untuk pekerja sosial di tempat perlindungan dan menyumbang kepada peningkatan keselamatan wanita. Contohnya, pekerja sosial ini boleh menghubungi wanita berkaitan sekali sebulan-bergantung kepada situasi dan hajat wanita itu untuk kekal berhubung.

Akhir sekali, sekiranya terdapat halangan institusi seperti ketakutan pengusiran (Bartels 2021; de Hart et al. 2022; Roegiers Mayeux et al. 2023), kami menggalakkan akses yang lebih mudah kepada yang permit kediaman bebas untuk mangsa keganasan rumah tangga. Oleh itu, adalah penting untuk terus memperhalusi dan melaksanakan strategi ini untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan lebih banyak sokongan bagi wanita yang mengalami keganasan rumah tangga.

 

5.2 Batasan dan Kajian Lanjutan

Penyelidikan ini mempunyai beberapa batasan-batasan penting. Contohnya, salah satu batasan kajian ini adalah kekurangan kejelasan mengenai pengaruh budaya, kewarganegaraan, dan etnik pekerja sosial tentang campur tangan mereka, dan bagaimana identiti yang dipilih sendiri ini berbeza, bersilang, dan saling berkait antara satu sama lain. Walaupun kajian ini mengakui kepentingan menghormati latar belakang identiti diri pekerja sosial, ia tidak cukup meneroka bagaimana identiti mereka membentuk pendekatan mereka terhadap penerapan autonomi. Kajian di masa hadapan boleh menyelidiki lebih mendalam berkenaan aspek ini untuk memberikan pemahaman yang lebih menyeluruh tentang identiti dan campur tangan dalam kerja sosial.

Di samping itu, tumpuan kami pada perspektif pekerja sosial semestinya telah mengeluarkan pandangan wanita yang kembali kepada pasangan mereka atau yang serius mempertimbangkan untuk berbuat demikian. Walaupun kertas kerja ini tidak memberikan gambaran khusus tentang sebab mereka memilih untuk kembali kepada pasangan mereka, tumpuan kami di sini adalah pada peranan dan keputusan pekerja sosial dalam bertindak balas terhadap pilihan ini. Begitu juga, tumpuan kami terhadap pekerja sosial telah meninggalkan pandangan tentang ahli keluarga dan pasangan terlibat. Namun, akaun holistik sepenuhnya tentang proses pembuatan keputusan untuk wanita yang telah meninggalkan hubungan ganas adalah di luar skop kertas ini sahaja dan akan merangkumi pelbagai aktor sosial dan faktor struktur, seperti yang dibuktikan dalam penyelidikan lepas (Morrison et al. 2021; Roegiers Mayeux et al. 2023). Sebaliknya, kami telah berusaha untuk mengkaji cabaran dan dilema yang dialami oleh pekerja sosial sebagai satu kumpulan, dalam  yang bertindak balas, dan berusaha untuk memaklumkan, dengan cara yang sering kala halus, tentang pembuatan keputusan wanita yang telah terselamat daripada keganasan rumah tangga.

Untuk membina pandangan ini dengan lebih lanjut, temu bual dengan perantara boleh dijalankan untuk mendapatkan pandangan tentang pengalaman dan kaedah mereka untuk memudahkan perdamaian. Lebih-lebih lagi, adalah bernilai untuk mengkaji unsur-unsur yang boleh memudahkan seseorang yang terselamat membuat proses keputusan sementara masih mengekalkan kemungkinan perdamaian dengan pasangan mereka. Hal ini boleh memudahkan kejayaan dalam membolehkan mereka membuat pilihan autonomi dalam persekitaran yang selamat. Akhirnya, apabila program Rotterdam untuk mangsa dan pelaku (Lokale Wet- en Regelgeving 2024) telah beroperasi selama beberapa tahun, ia akan menjadi sesuatu yang berharga dalam lebih mempertimbangkan kesannya terhadap pasangan yang ingin berdamai.

No comments:

Post a Comment